Kesihatan emosi mungkin kurang mendapat perhatian berbanding dengan kesihatan fizikal yang mampu dilihat secara lahiriah. DEWANI ABBAS membantu anda mengenalinya.
Apabila disebut tentang kesihatan, usah setakat memikirkan tentang kesihatan fizikal dan mental sahaja sebab kesihatan emosi kita juga harus dijaga baik.
Siapa lagi yang boleh menjaga emosi kita agar terus sihat (terlambang daripada perasaan riang dan tenang yang dirasai) kalau bukan diri kita sendiri?
Kesihatan mental perlu untuk memberi fokus kepada pelbagai perkara, tetapi kesihatan emosi juga penting untuk mencapai kepuasan maksimum.
Bagaimanakah meraih kesihatan emosi itu?
Ada 12 cara yang dilakar golongan pakar.
1. Dapatkan ramai kawan
“Berdasarkan teori-teori psikoterapi, didapati orang yang memiliki sokongan sosial yang kuat (ramai kawan) adalah lebih gembira,” kata profesor psikologi di Universiti Adelphi di Garden City, New York, Amerika Syarikat, Dr Rebecca Curtis.
Justeru, sebaliknya juga benar. “Kita semua perlu berinteraksi sesama insan, jadi ingatlah, jangan jadi orang yang suka bersendirian kerana
semakin kita menyendiri, semakin pelik sikap yang kita akan tampilkan,” kata Dr Curtis.
semakin kita menyendiri, semakin pelik sikap yang kita akan tampilkan,” kata Dr Curtis.
2. Nikmati masa bersendirian
Panduan ini bagai bertentangan dengan panduan pertama, tetapi sebenarnya ia saling menyokong.
“Adakala bersendirian boleh menyihatkan emosi, tetapi jangan sebabnya adalah kerana kita sudah tidak suka kepada seseorang. Tetapi, usah pula jadi seperti kupu-kupu yang terlalu bebas terbang ke sana sini, sampai kita lupa diri,” tambah Dr Curtis.
3. Cergaskan diri
Banyak sekali kajian telah menunjukkan bahawa senaman boleh meningkatkan mood (membuat diri rasa riang) dan secara am meningkatkan mutu hidup.
Perlu diingat juga bahawa kesihatan emosi berjalan seiring dengan kesihatan fizikal. Jadi, tidurlah dengan mencukupi, makan dengan seimbang dan pada masa tetap. Usah lupa untuk bersantai dengan secukupnya.
4. Cari keseronokan
Keseronokan memberi anda keriangan, tetapi ketahui keseronokan mana yang baik untuk anda.
Dalam bukunya, Your Own Worst Enemy: Breaking the Habit of Adult Underachievement (Musuh Paling Ketat Anda: Meninggalkan Tabiat Orang Dewasa yang Kurang Berjaya), pakar psikologi, Dr Kenneth Christian, menyeru pembacanya menyenaraikan apakah perkara- perkara yang memberi kesan positif dan menyeronokkan pada diri mereka.
Beliau menggesa mereka melakukan perkara-perkara itu setiap hari dan mengekalkannya.
5. Cari keghairahan
Apa yang dimaksudkan di sini ialah mencari perkara-perkara yang membuat anda amat gembira atau passionate melakukannya.
Menurut Dr Christian, ia mungkin perkara-perkara yang anda ingin lakukan sebelum anda menutup mata dan boleh memperkaya hidup anda serta menjadikannya lebih bermakna.
6. Rancang untuk hadapi masalah
Apakah pula yang dimaksudkan dengan panduan ini?
Tidak semua yang kita rancang dan inginkan akan berjalan mulus, malah pasti ada hasrat yang tidak tercapai dan timbulnya masalah.
Benar, memang ada masalah yang kita tidak duga langsung, tetapi ada yang boleh dijangkakan. Jadi, bersiap sedialah dengan memasang garisan pertahanan iaitu langkah-langkah untuk mengatasi masalah itu.
7. Dapatkan kritikan membina
Dr Curtis berkata: “Manusia sering melakukan perkara-perkara yang menyusahkan dirinya dan orang lain, tetapi mereka tidak sedar.
“Anda mungkin seorang yang memiliki perawakan menarik, tetapi selalu menyakitkan hati orang lain. Justeru, teguran orang lain penting
didapatkan.”
didapatkan.”
Sikap serupa perlu diambil dalam dunia pekerjaan juga. Tanya penyelia anda sama ada anda telah membuat kerja dengan baik.
8. Ambil risiko sihat
Usah takut menembusi suatu keadaan yang baru. Tetapi, jangan sekadar memasukinya tanpa keperluan.
“Jika anda tidak pernah meninggalkan zon selesa anda, anda tidak akan tahu sama ada anda akan meraih suatu pengalaman lebih baik daripada yang anda rasai sekarang,” kata Dr Curtis.
9. Tangani kejayaan dengan bijak
Berkongsi kejayaan anda dengan orang lain adalah lebih baik daripada menyembunyikannya.
Ia baik untuk kesihatan emosi dan membina keyakinan diri anda. Tetapi, jika sebaliknya anda berdiam diri dengan kejayaan yang diraih, anda juga yang akan mula berasa bosan dan tidak akan pernah berasa puas.
10. Usah cuba lerai masalah sendiri
Menjalani terapi adalah baik, gesa ahli-ahli psikologi, jika anda menghadapi masalah rumit hingga menjejas kesihatan emosi.
“Jangan cuba beraksi hebat bahawa anda boleh melakukan segala-galanya sendiri,” kata Dr Curtis
11. Catatkan isi hati
Anda boleh senaraikan fikiran-fikiran seperti tujuh perkara yang paling anda takuti.
Kemudian buat pula satu senarai perkara-perkara yang membuat anda riang dan yang anda syukuri.
Ini semua membantu anda mengenali diri anda.
12. Lindungi diri daripada manusia negatif
Golongan ini adalah mereka yang suka berpura-pura, suka berkeluh-kesah, banyak berceloteh seperti mulut murai dan suka menyalahkan orang lain.
Anda boleh mendengar mereka buat seketika, tetapi sesudah itu, angkat kaki dan jauhilah mereka. Usah takut melakukannya kerana bimbang disangka tidak sopan.
Anda perlu bertindak tegas.
SUMBER : http://specials.beritaharian.sg/
0 comments:
Catat Ulasan