7 Tatacara Menetapkan Matlamat


1. Tuliskannnya
Saya telah menjelaskan kepentingan menulis matlamat berulang kali dalam beberapa artikel sebelum ini. Minda kita tidak dapat membentuk gambaran yang kukuh jika ia tidak diletakkan di dalam bentuk bertulis terlebih dahulu. Dengan menulis, anda akan lebih fokus kerana cuba menerangkan anda yang ingin dicapai dalam bentuk perkataan dan ayat. Usaha berfikir dengan lebih fokus ini secara tidak langsung menjadikan matlamat itu lebih lekat dalam minda. Selain itu, menulis matlamat
menjelaskan lagi apa sebenarnya yang anda ingin capai. Setelah matlamat ditulis, baca kembali matlamat itu. Apa perasaan anda? Anda akan dapati perasaan membaca matlamat yang ditulis berbeza daripada hanya memikirannya dalam otak

2. Jangan fikirkan logik atau tidak
Apabila mula menulis, anda tidak perlu fikir sama anda matlamat anda itu munasabah atau tidak. Itu akan ditangani kemudian. Apa yang penting ianya ditulis dahulu. Fikirkan kemungkinan-kemungkinan yang anda boleh capai. Luaskan pandangan, jangan ditapis buah fikiran itu. Tanya soalan ini ”Jika tiada siapa yang menghalang anda, atau jika anda mempunyai segala-gala yang anda perlukan (seperti wang, kemahiran, jaringan kenalan, pengetahuan), apa yang anda boleh capai?” Senaraikannya sebanyak mungkin. Dalam menetapkan matlamat, kita selalu meletakkan had dalam minda. Akibatnya daya kreativiti kita terbantut. Setelah anda selesai menulis, barulah anda pilih satu matlamat besar yang realistik untuk anda usahakannya.

3. Mestilah tinggi
Saya lihat ramai orang ketika kecil mempunyai cita-cita besar tetapi bila sudah dewasa mereka meletakkan matlamat yang begitu rendah, tidak sepadan dengan potensi mereka. Ini kesilapan besar yang kita buat. Tetapkan matlamat setinggi mungkin. Mungkin anda risau jika anda letakkan matlamat tinggi sangat anda akan gagal atau diketawakan. Ya itu boleh berlaku tetapi ia juga boleh berlaku pada matlamat yang rendah.

4. Nyatakan dengan positif dan spesifik
Barangkali anda mempunyai keinginan yang dilihat dari sudut negatif seperti tidak mahu miskin atau hidup susah, mengidapi penyakit, hidup berseorangan dan sebagainya. Tidak salah mempunyai matlamat negatif seperti itu kerana kita semua punyai perkara-perkara yang kita risaukan dalam hidup. Walaubagaimanapun dalam latihan menulis matlamat ini, lebih baik matlamat itu ditulis secara positif. Fokus pada apa yang anda mahu daripada apa yang anda tidak mahu. Jika anda mempunyai risaukan sesuatu keadaan, fokuskan pada keadaan yang bertentangan dengannya. Contoh, jika anda tidak mahu hidup susah, keadaan bertentangannya ialah hidup senang. Pastikan anda lebih spesifik dengan apa yang dimaksudkan dengan senang itu? Adakah senang itu dimaksudkan dengan rumah sebesar istana? Ataupun ada wang untuk membeli apa sahaja?

5. Gunakan kata ganti nama pertama
”Saya” atau ”Aku” adalah kata-kata ganti nama pertama. Gunakannya dalam menulis kenyataan matlamat itu. Contoh ”Saya adalah pemain bolasepak yang membawa Malaysia memenangi pingat emas Olimpik pada sekian sekian tarikh.” Nyatakan matlamat itu seolah-olah anda telah mencapainya. Ini adalah salah teknik memprogramkan minda.

6. Matlamat itu adalah matlamat anda
Anda yang kerap mendapat nasihat dan dorongan orang lain kadang-kala boleh masuk dalam perangkap ini – anda ambil matlamat orang lain sebagai matlamat anda. Orang lain seperti ibubapa dan guru mempunyai harapan mereka sendiri dan nasihat mereka berguna, tetapi jangan ambil bulat-bulat apa yang mereka mahu anda capai. Ini kerana matlamat orang lain bukan datang dari hati anda. Apabila bukan datang dari hati anda, ia menjadi satu bebanan dan dikhuatiri jika anda capai matlamat itu pun anda tidak akan gembira.

7. Selaras dengan nilai anda
Mencapai matlamat adalah satu proses merealisasi satu realiti baru dan apabila ianya dicapai, ia menjadi sebahagian daripada kehidupan anda. Jadi anda perlu pastikan matlamat selaras dengan prinsip dan perkara yang bernilai bagi anda. Tidak guna mengejar sesuatu impian yang anda hanya punyai keinginan sementara kerana pencapaiannya memerlukan pengorbanan masa dan tenaga.
Begitulah 7 tatacara menetapkan matlamat untuk anda mulakan tahun 2012 ini dengan jayanya. InsyaAllah jika langkah pertama dilakukan dengan betul dan bersungguh-sungguh, anda boleh nikmati kejayaan yang lebih besar lagi pada tahun ini.
Semoga berjaya menuju kejayaan,
Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments: